Mega 3 Housing Facebook

Usah Terikut-ikut Pengaruh Media Sosial


Usah Terikut-ikut Pengaruh Media Sosial

1.gif
2.gif
3.gif

Deskripsi:

Usah Terikut-Ikut Pengaruh Media Sosial 

Kehadiran media sosial seperti Facebook, Instagram, Whatsapp dan pelbagai lagi semestinya telah membawa pelbagai impak ke dalam kehidupan seharian. Pada hari ini, media sosial merupakan platform utama perkongsian  di mana pengguna boleh memperolehi kandungan seperti berita, maklumat, tawaran dan sebagainya. 

Dengan akses di hujung jari, media sosial telah menjadi peranan utama dalam menyampaikan maklumat dan menghubungkan sesama insan. 

Malahan, pengguna juga cenderung untuk berkongsi atau ‘share’ gambar-gambar aktiviti kehidupan seperti membeli kereta baru, sedang membeli-belah, menikmati percutian dan sebagainya. Perkara ini dilihat semakin menjadi kebiasaan di kalangan pengguna. 

Secara tidak langsung, kita menjadi terikut-ikut dengan mengemas kini akaun media sosial yang dimiliki. Kita seakan-akan tidak mahu ketinggalan untuk mengikuti trend terkini dan seolah-olah berlumba mengemas kini akaun media sosial masing-masing. Menurut tinjauan yang dijalankan oleh The Washington Post, isu ini sering berlaku pada pengguna umur 18-33. Tertumpu pada golongan muda, di mana mereka lebih mudah berasa tidak pernah cukup dan ingin lebih daripada orang lain.   

Menyokong isu ini juga, menurut artikel dan kajian yang dipetik daripada Degreed, segala perkongsian di media sosial sering menggambarkan kehidupan yang ideal dan sempurna. Menjadikan pengguna bertindak membandingkan kehidupan mereka dengan apa yang dilihat di media sosial. 

Implikasinya? Kehidupan dipenuhi dengan keputusan yang dipengaruhi dengan media sosial. Orang lain bercuti, kita pun bercuti. Beli kereta, membeli-belah dan sebagainya. Akibat terlalu ikut pengaruh media sosial, kita berbelanja di luar kemampuan. Kewangan menjadi tidak stabil dan terurus akibat terlalu ikutkan trend berbelanja dan menunjuk di media sosial. 

Mereka terlalu leka ingin menunjuk-nunjuk di media sosial hingga pengurusan kewangan di masa terabai. Akibat terlalu hanyut melayan kehendak tersebut, akhirnya mereka menanggung hutang di samping rekod kewangan yang tidak sihat. 

Kerana terlalu sibuk mengejar arus media sosial, perancangan masa depan bukan lagi menjadi jaminan. Setiap wang ringgit dibelanjakan untuk hiburan, demi perkongsian yang tiada noktah di media sosial. 

Sepatutnya generasi ini perlu melawan nafsu tersebut dan fokus untuk masa depan mereka seperti meletakkan wang tersebut untuk pembayaran pendahuluan rumah pertama, insurans, simpanan dan sebagainya. Bak kata pepatah, sikit-sikit lama jadi bukit. Endahkan arus media sosial dan fokus untuk persiapan masa depan sendiri. 

Kesimpulannya, usah terlalu ikutkan trend media sosial. Benar, media sosial telah memberikan pelbagai impak positif kepada masyarakat. Namun, pengguna sosial media seharusnya lebih bijak dalam mengawal emosi mereka. Tidak salah untuk berkongsi perkara baik di laman sosial, asalkan tidak memudaratkan diri dan pengguna yang lain. 

Yang paling penting, pastikan ada prinsip yang teguh dan pengurusan kewangan berhemah. Hidup untuk cukup, bukan untuk memuaskan arus media sosial yang tidak ada penghujungnya.