Matlamat Kewangan


Matlamat Kewangan


Sesi AA - Episod #4: Matlamat kewangan oleh Aiman Azlan

Deskripsi:
Dalam entri yang sebelum ini, saya sudah menulis tentang tip menjaga duit, tip mengembangkan duit, dan 60 tahun kemerdekaan. Dalam entri kali ini, saya ingin kembali menulis tentang duit. Khususnya tentang cara untuk mengawal nafsu belanja, satu cabaran yang kuat bagi ramai orang di luar sana.

Dalam entri yang pertama, tip yang saya kongsikan amatlah mudah. Tetapi ada lagi tip yang lebih mudah. Ia bukanlah tip yang baru, kita semua mungkin sudah tahu tentangnya kerana ianya perkara asas. Akan tetapi, kadang kala kita terlepas pandang perkara asas dan perlukan peringatan.

Apakah tip tersebut? Salah satu cara berkesan untuk mengawal nafsu belanja adalah dengan menetapkan matlamat kewangan yang jelas. Matlamat kewangan boleh jadi jangka masa pendek atau jangka masa panjang. Apa-apapun, matlamat itu perlu jelas.

Contohnya, saya dan isteri baru sahaja selesai menunaikan ibadat haji. Semua orang tahu, haji memerlukan perbelanjaan yang agak besar. Saya dan isteri bukanlah kaya mana pun. Jadi, bagaimana kami mampu, dari segi kewangan, untuk ke sana?

Jawapannya adalah dengan menetapkan matlamat kewangan yang jelas.

Kami tahu yang kami perlukan RM10,000 seorang untuk layak menunaikan haji bersama Tabung Haji dan kami tahu secara kasar bila kami ingin menunaikan haji (dalam masa setahun dua). Jadi, dengan adanya angka dan jangka masa, kami mampu untuk melihat matlamat kewangan kami dengan jelas.

Apabila matlamat jelas ini sudah ada, ianya akan mempengaruhi segala macam perbelanjaan rumah kami selepas itu. Segala keputusan kewangan akan ditapis untuk menentukan apa yang lebih penting dan apa yang kurang penting berbanding matlamat kami itu. Jika ia lebih penting, maka kami akan belanja, Jika ianya kurang penting, maka kami tangguhkan.

Matlamat yang jelas ini membantu kami untuk mengawal nafsu berbelanja kerana kami berdua sedar bahawa ada sesuatu yang lebih berharga yang menjadi idaman kami. Ada beberapa ketika di mana kami terpaksa batalkan atau tangguh perbelanjaan kami kerana kami rasa ianya tidak penting ataupun hanya satu kemahuan, bukannya keperluan.

Tip ini yang ringkas dan mudah sahaja, tetapi tip inilah antara salah satu faktor saya dan isteri mampu tunaikan haji. Haji itu hanyalah satu contoh. Ada banyak lagi matlamat-matlamat lain yang boleh menjadi motivasi untuk kita berbelanja dengan lebih bijak, seperti melanjutkan pelajaran, berkahwin, pergi melancong, beli kereta, ataupun beli rumah.

Jika ingin beli rumah, antara yang kita patut tahu berapakah harganya dan bila kita mahu membelinya. Dengan adanya maklumat tersebut, kita boleh melihat matlamat itu dengan lebih jelas dan ia menjadi satu motivasi kepada kita untuk mengubah cara kita berbelanja. Apabila kita ingin berbelanja ke arah kemahuan kita yang kurang penting, kita mampu untuk menangguhnya kerana kita ada matlamat yang lebih penting dalam minda.