Mega 3 Housing Facebook

Semangat Rukun Negara, Nadi Utama Malaysia


Semangat Rukun Negara, Nadi Utama Malaysia

Tahun 2020 telah menjadi saksi kematangan dan kecekalan Malaysia di mata dunia. Tahun ini juga merupakan genapnya 50 tahun kelahiran Rukun Negara - yang telah menjadi pemacu dan tunjang negara kita. Kerajaan telah merasmikan logo sambutan bagi meraikan kehadiran Rukun Negara di sisi Malaysia. 

50-Rukun-Negara-Logoblog.jpg

Menurut BERNAMA, lima jalur simbolik lima prinsip Rukun Negara yang perlu dipatuhi; bulan dan bintang mewakili prinsip Kepercayaan kepada Tuhan.

Tengkolok berkerawang bulan dan bintang simbol prinsip Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Ia juga melambangkan Prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang. Angka 50 sempena sambutan ulang tahun Rukun Negara dan biru mencerminkan amalan perpaduan dalam Kesopanan dan Kesusilaan.

Prinsip-Rukun-Negarablog.jpg

Namun, apakah intipati Rukun Negara? 

Memetik ucapan Perdana Menteri kita, YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin dalam ucapan rasmi beliau - “Malah yang lebih penting ialah prinsip-prinsip inilah yang memberi makna yang amat mendalam kepada diri kita sebagai rakyat Malaysia.” 

“Kita berasa bangga menjadi warganegara Malaysia walau apa pun kaum, agama dan warna kulit kita kerana kita mempunyai jati diri yang sebahagiannya dibentuk oleh prinsip Rukun Negara.” 

Ujar beliau juga, kelima-lima prinsip ini menjadi asas identiti diri dan penyatuan kita sebagai bangsa Malaysia.

Turut memetik kata-kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah, matlamat sambutan ini bagi menyemarakkan nilai perpaduan dan penghayatan terhadap Rukun Negara dalam kalangan rakyat Malaysia.

PKP95blog.jpg

Di kala dunia termasuklah Malaysia dilanda pandemik Covid-19, rakyat seakan mengerti dan menghayati semangat nasionalisme negara. Hal ini terbukti di mana 95% rakyat Malaysia patuh dengan arahan PKP disamping memberi kerjasama sebaik mungkin untuk melawan wabak ini.  Tanpa disedari, semangat Rukun Negara telah melaungkan suaranya dalam menyemai semangat perpaduan rakyat. 

Turut menambah, Perdana Menteri kita amat terharu dengan semangat perpaduan yang ditunjukkan oleh seluruh rakyat Malaysia dalam menghadapi wabak Covid-19 baru-baru ini. 

“Tidak keterlaluan jika saya katakan perpaduan saudara-saudarilah yang telah membolehkan kerajaan mengurus wabak ini dengan berkesan dan dikatakan antara yang terbaik di dunia. Jika semangat perpaduan dan saling bantu-membantu ini kita teruskan pada masa-masa akan datang, saya yakin kita akan berjaya mengatasi apa sahaja cabaran yang menduga kita di masa hadapan.”

Berkat perpaduan dan kerjasama yang ditonjolkan rakyat telah menampakkan hasil pada hari ini. Pelbagai sektor ekonomi kini dibuka semula secara berperingkat demi menjamin kelangsungan ekonomi negara. Walaupun SOP tetap dilaksanakan demi menjamin keselamatan, namun semangat rakyat dilihat terus membara dalam melawan Covid-19.

MalaysiaPrihatin.jpg

Pujian setinggi-tingginya untuk Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dalam mengemudi negara penuh kewibaan dengan kepimpinan Perdana Menteri YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Yassin dalam menangani pandemik ini. 

Walaupun dengan dengan norma baharu, berjauhan dengan jarak sosial tidak melunturkan semangat kita. Jiwa nasionalime dan perpaduan kekal membara di setiap hati rakyat Malaysia. Tanpa mengira kaum, bangsa dan agama, kita harus cekal bersama demi mengalahkan Covid-19 agar terus mekar di mata dunia. Selamat menyambut bulan kemerdekaan yang ke-63, daripada Mega 3 Housing & Raya Baiduri.


Kemerdekaan-Ke-63blog.jpg