Mega 3 Housing Facebook

Ketahui 3 Perkara Ini Sebelum Miliki Rumah Sendiri


Ketahui 3 Perkara Ini Sebelum Miliki Rumah Sendiri

Ketahui-sebelum-beli-rumah-1.gif
Ketahui-sebelum-beli-rumah-2.gif
Ketahui-sebelum-beli-rumah-3.gif
Ketahui-sebelum-beli-rumah-4.gif
Ketahui-sebelum-beli-rumah-5-1.gif
Ketahui-sebelum-beli-rumah-6-1.gif
Ketahui-sebelum-beli-rumah-7.gif
Sumber: http://www.aimanazlan.com/2017/05/owning-your-first-house-here-are-3.html
Deskripsi:
Ketahui 3 Perkara Ini Sebelum Miliki Rumah Sendiri oleh Aiman Azlan

 

 

Sekitar awal tahun ini, saya dan isteri saya telah membeli sebuah rumah. Memiliki sebuah rumah adalah impian mana-mana pasangan, tetapi proses yang perlu dilalui adalah amat rumit terutamanya apabila memikirkan jumlah hutang yang perlu ditanggung dalam jangka masa panjang.

 

Untuk pengetahuan semua, saya dan isteri saya tidak gemar berhutang. Kami tidak mempunyau kad kredit, kami beli kereta terpakai sebagai kereta pertama, dan sepanjang 3 tahun pertama perkahwinan kami memilih untuk menyewa rumah - bukan terus beli rumah.

 

Kami lebih cenderung untuk berbelanja duit yang kami ada dan bukannya duit yang tiada. Hakikat berhutang adalah kita berbelanja duit yang tiada pada kita. Kami tidak mahu berlagak seperti kami lebih mampu daripada kemampuan kami yang sebenar.

 

Jika kami boleh mengelak hutang, kami akan lakukannya. Jika tidak boleh elak, kami akan cuba sedaya upaya untuk membayar semula dengan segera. Untuk kereta terpakai yang kami beli, sebagai contoh, kami meminjam sejumlah wang daripada seorang ahli keluarga yang kami percayai dan kami langsaikan hutang tersebut dalam masa 2 tahun sahaja.

 

Kami bebas hutang kereta dan kami miliki kereta tersebut 100%.

 

Keputusan untuk membeli rumah bukanlah keputusan yang kami lakukan semalaman. Ia adalah hasil perbincangan yang panjang lebar, terutamanya tentang kepentingan memiliki rumah dan cara terbaik untuk melakukannya.

 

Persoalan #1: Ingin sewa atau beli?

 

Rumah itu adalah keperluan, tetapi adalah ia keperluan yang perlu dibeli? Bagaimana sekiranya kita sewa sahaja sampai bila-bila? Persoalan itu perlu kami jawab. Dari sudut yang simplistik, jika kami sewa maka kami tidak perlu risau tentang hutang.

 

Cumanya ada satu isu: dalam jangka masa yang panjang, jumlah sewa yang kami bayar akan menyamai harga sebuah rumah. Dalam pada itu, kos sewa akan meningkat dari masa ke masa. Jadi, kami berkemungkinan besar akan membayar sejumlah wang yang melebihi harga sebuah rumah.

 

Namun, ada lagi isu yang kami risaukan. Dengan menyewa, kami akan mendiami rumah yang dimiliki oleh orang lain. Maknanya, tuan rumah boleh dan layak untuk menghalau kami pada bila-bila masa dengan notis ringkas.

 

Jadi, walaupun kami mampu bayar sewa setiap bulan, tetapi tuan rumah mempunyai hak terhadap rumah tersebut. Jika beliau mahu kami keluar atas sebab yang tidak perlu dibincangkan, kami patut keluar kerana itu rumahnya.

 

Isu tambahan pula adalah rumah tersebut tidak boleh kami wariskan kepada zuriat kami setelah kami meninggal dunia. Sebuah rumah merupakan satu aset yang kami boleh serahkan dalam wasiat - tapi kami perlu memilikinya terlebih dahulu.

 

Kami tidak boleh wariskan apa yang kami tidak miliki.

 

Persoalan #2: Bayar tunai atau mohon pembiayaan?

 

Harga rumah yang kami beli adalah RM300,000 dan pada masa tersebut, harganya dikira murah jika dibanding dengan harga rumah-rumah sepertinya di pasaran. Sungguhpun begitu, kami tidak mempunyai RM300,000 dalam poket ataupun bank. Memang seronok kalau ada.


Kami boleh menyimpan dahulu untuk mencukupkan duit, tetapi kami khuatir berbuat demikian kerana harga rumah kian meningkat. Jadi, kami membuat keputusan bersama untuk memohon pelan pembiayaan yang paling sesuai dengan keadaan kemampuan kami ketika itu.

 

Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, kami tidak gemar berhutang jadi keputusan yang kami lakukan bersama itu agak sukar dan berat. Ramai yang tidak menyedari bahawa sesuatu pembiayaan itu bukanlah satu keperluan, tetapi ia satu kemewahan.

 

Jika kita memahami bahawa pembiayaan itu satu kemewahan, maka kita sepatutnya berfikir betul-betul sebelum menggunakan kad kredit atau mengunjungi bank untuk memohon pembiayaan.

 

Jadi, kami berhati-hati apabila memilih pembiayaan dan hanya ambil apa yang diperlukan sahaja - tidak lebih daripada itu. Kami juga cuba untuk singkatkan durasi pembayaran sebanyak mungkin, supaya kami punyai motivasi untuk langsaikan hutang tersebut dengan cepat.

 

Persoalan #3: Pinjaman konvensional atau pembiayaan Islamik?

 

Secara umumnya, tidak sukar untuk saya memilih antara konvensional atau Islamik. Sudah tentu saya memilih yang Islamik kerana itu merupakan pilihan tetap rohani saya sejak saya memilih untuk hidup sebagai seorang Muslim.

 

Namun, apabila masuk isu pinjaman konvensional berbanding dengan pembiayaan Islamik, saya akui pada mulanya saya agak skeptikal. Bukan kerana saya ragu-ragu dengan Islam, tetapi kerana saya lihat banyak persamaan antara pinjaman konvensional dan pembiayaan Islamik.

 

Untuk kedua-duanya, saya perlu ke bank dan memohon duit untuk membeli rumah. Rumah dibeli dan saya perlu bayar semula kepada pihak bank dengan bayaran yang lebih. Jadi, saya fikir, apakah mereka berdua sama sebenarnya?

 

Disebabkan keraguan ini, saya cuba menghindari kedua-duanya.

 

Tetapi, setelah yang melakukan kajian peribadi dan melihat kedua-duanya dengan lebih mendalam, barulah saya sedar bahawa pinjaman konvensional dan pembiayaan Islamik itu berlainan sebenarnya walaupun pada permukaannya, kelihatan seperti sama.

 

Dalam proses pinjaman konvensional, anda perlu mohon pada bank untuk diberi pinjaman wang. Setelah permohonan diluluskan, pihak bank akan berikan pinjaman wang kepada anda. Anda pula gunakan wang tersebut untuk membeli rumah. Selepas itu, mengikut kontrak yang telah dipersetujui, anda perlu bayar semula kepada pihak bank duit pinjaman tersebut.

 

Namun, anda perlu membayar amaun yang lebih tinggi daripada apa yang anda pinjam pada awalnya. Lebihan itu yang disebut sebagai faedah, bunga, atau riba. Saya menentang riba, kerana Allah melarangnya secara keras.

 

“…Allah telah menghalalkan jual-beli, dan mengharamkan riba…” (Surah al-Baqarah, Ayat 275)

 

Pada awalnya, saya fikir pembiayaan Islamik serupa sahaja seperti pinjaman konvensional. Cuma label sahaja yang berbeza. Tetapi tidak, pembiayaan Islamik ada mekanisma yang berbeza sebenarnya.

 

Dalam proses pembiayaan Islamik, anda tidak meminjam wang daripada bank. Jika ia satu pinjaman, maka Islam melarang pembayaran semula yang melebihi amaun pinjaman. Kita tidak boleh mengaut keuntungan atas dasar pinjam-meminjam.

 

Oleh sebab itu, ia dinamakan pembiayaan Islamik dan bukannya pinjaman Islamik. Secara ringkas, pembiayaan Islamik merupakan urusan jual beli antara anda dan pihak bank. Anda sebenarnya tidak memohon duit daripada bank (pinjaman).


Anda hanya memohon untuk bank belikan dahulu rumah yang anda inginkan. Kemudian, bank tersebut akan jual rumah tersebut kepada anda. Dalam mana-mana urusan jual beli, harga jualan akan melebihi harga kos kerana di situlah keuntungan dijana. Sebab itulah anda dikehendaki membayar lebih kepada pihak bank, melebihi harga rumah pada asalnya.

 

Bank mengambil keuntungan jualan, bukannya keuntungan pinjaman. Memahami mekanisma asas ini membantu menenangkan hati saya tentang pembiayaan Islamik. Amat penting untuk kita memahami sesuatu perkara tersebut sebelum kita jatuhkan sebarang hukuman ataupun buat sebarang keputusan.

 

Maka, silalah buat kajian anda sendiri. Berbincanglah dengan pasangan anda tentang keperluan memiliki sebuah rumah dan tentang keperluan untuk memilih pembiayaan Islamik bagi anda. Terokailah pilihan pembiayaan Islamik yang paling sesuai untuk anda.

 

Jangan malu untuk bertanya bagi menimba ilmu yang baru dan memahami keadaan dengan lebih baik. Sebagai contoh, organisasi seperti IBFIM boleh membantu anda memahami dengan lebih lanjut tentang pembiayaan Islamik.

 

IBFIM diselia oleh Bank Negara Malaysia dan menyediakan pelbagai program latihan kelayakan khususnya dalam bidang kewangan Islamik. Untuk tahu lebih lanjut, boleh layari laman web IBFIM di ibfimonline.com/about-us.

 

Setelah memahami setiap maklumat yang ada, barulah kita yakin untuk mengambil sebarang keputusan yang teguh mengenai sesuatu perkara yang penting, terutamanya perkara penting seperti memiliki sebuah rumah idaman.